Sabtu, 31 Oktober 2009

Khalid: Usul Badrul Letak Jawatan Lambang Ketelusan Kerajaan Negeri

TV SELANGOR


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik kritikan-kritikan yang diterima dari Umno-Barisan Nasional atas tindakan beliau meminta Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Menurutnya, beliau membuat keputusan tepat dan mengotakan janji kepada rakyat untuk mengambil tindakan terhadap Badrul apabila peluang dan tempoh masa yang diberikan sebelum ini dipersiakan.

Kata Khalid, tindakannya itu sekaligus menunjukkan ketelusan Pakatan Rakyat dalam mentadbir kerajaan negeri.

“Saya tak terkejut walaupun ada yang mengkritik tindakan saya mengusulkan kepada pucuk pimpinan meminta Adun tersebut meletakkan jawatan, keputusan ini dibuat kerana saya telah berjanji dengan orang ramai untuk mengambil tindakan dan ini menunjukkan ketelusan Pakatan Rakyat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Anwar On Trial – In The Face Of Injustice di Perpustakaan raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.

Menjawab persoalan, semakin ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan, Khalid menjelaskan sebaliknya kerana bilangan ahli yang aktif dalam parti itu semakin bertambah.

Katanya, tindakan keluar parti seorang dua ahli PKR sengaja disensasikan sesetengah pihak sebaliknya kemasukkan ahli baru tidak langsung pernah dibangkitkan.

“Takde juga, tak ramai…saya nak bagitau sebagai contoh di Selangor sahaja, semasa saya mula aktif dalam PKR pada 2005 dan 2006, tak sampai 50 orang yang aktif, tetapi sekarang lebih 2000 orang aktif, kadang-kadang yang keluar parti seorang, tapi yang masuk 400 orang, saya rasa itu bukanlah masalah, orang keluar seorang bising, tapi ramai yang masuk diam,” katanya.

Jelas Khalid lagi, Umno-Barisan Nasional perlu menasihatkan Badrul supaya meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Katanya ia bagi menjaga maruah Umno-Barisan Nasional dan membuktikan parti berkenaan masih mempunyai semangat juang seperti pada pilihan raya kecil bagan pinang 11 oktober lalu.

“Ya, we thought if Badrul Hisham resign, then we look forward by election because if UMNO feels they got motivation from Bagan Pinang, they should persuade Badrul Hisham to resign, therefore we compete then what we think it. I hope Datuk Seri Najib will advice Badrul Hisham for sake Umno, he resign,” katanya.

Khalid menambah, apa yang berlaku sekarang adalah sebagai pengajaran kepada PKR untuk berhati-hati memilih calon pada masa akan datang dan hanya akan memilih calon yang benar-benar memahami falsafah parti.

“Ini perkara yang menjadi pengajaran kepada kita dan untuk masa depan, pemilihan untuk mereka dan calon-calon perlu diperketatkan supaya mereka mempunyai ketahanan untuk memperjuangkan keadilan dan falsafah parti,” katanya.

Terdahulu, Badrul bertindak mengumumkan keputusan keluar dari parti keadilan dan menjadi ADUN bebas menyokong Barisan Nasional setelah Tan Sri Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan Keadilan supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya.

Tiada ulasan: