Khamis, 29 Oktober 2009

Pemuda Pas tetap tolak kerajaan perpaduan

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Pemuda Pas Pusat semalam memberi kata dua kepada pucuk pimpinan parti itu supaya tidak lagi membangkitkan isu kerajaan perpaduan kerana ia tidak lagi menjadi keperluan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan At-Tantawi, berkata pendirian Pemuda Pas selaras dengan isu dibangkitkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak setuju penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Isu kerajaan perpaduan memang dibangkitkan kepemimpinan Pas ketika kerajaan BN diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Jadi, apabila sekarang sudah bertukar Perdana Menteri, maka isu itu (rundingan kerajaan perpaduan) tak berbangkit lagi.

“Tok Guru Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai pencetus idea itu telah tutup buku... dah tak bincang lagi sebab suasana tidak mengizinkan dan syarat tidak dipatuhi (pemimpin Umno dan BN) dan keperluan pun tak wujud sekarang. Jadi, kerajaan perpaduan tidak lagi berbangkit.

“Malah, perkara ini juga diputuskan dalam Muktamar Agung Pas Pusat baru-baru ini yang mahu mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas pendirian Pemuda Pas Pusat mengenai penubuhan kerajaan perpaduan dengan BN seperti yang dicetuskan parti itu sebelum ini.

Kelmarin, Abdul Hadi berkata, Pas membuat keputusan untuk menutup pintu perbincangan dengan Umno dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpin parti itu terus bertelagah sesama sendiri.

Tiada ulasan: