Sabtu, 31 Oktober 2009

Jawatankuasa Disiplin Pas beri amaran ‘tutup mulut’

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Disiplin Pas memberi amaran dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana ahli mahupun pemimpin parti yang bertindak membincangkan semula masalah yang telah diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa memandang serius perkara ini walaupun perkara itu disuarakan di laman blog kerana parti mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu dalaman parti yang berlaku.

“Sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan.

“Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan dan merosakkan hubungan baik dalam Pakatan Rakyat,” katanya dipetik dari laman blog beliau semalam.

Menurutnya, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada.

“Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

“Jawatankuasa Disiplin Parti kini sedang memantau beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu yang menulis berkaitan parti sebelum mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat, kelmarin,” katanya.

Sehingga kini, katanya Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakala satu lagi sedang diteliti.

“Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas,” katanya.

Tiada ulasan: