Khamis, 29 Oktober 2009

Jabatan Pelajaran nafi terlibat bina jambatan maut

Salhan K Ahmad


Jabatan Pelajaran Negeri Perak (JPN) tidak terlibat dalam proses kelulusan pembinaan jambatan gantung yang roboh dan mengorbankan tiga pelajar sekolah yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di Kampar malam Isnin lalu.

Pengarahnya Mohd Radzi Abd Jabar berkata urusan pembinaan jambatan gantung merentasi Sungai Kampar itu diselia sepenuhnya oleh pihak yang bertanggungjawab membuat sumbangan berkenaan.

"Kalau ada orang yang nak bagi sumbangan seperti jambatan ini, terpulang kepada mereka sendiri," katanya ketika diminta menjelaskan prosedur lazim untuk membina struktur di dalam kawasan sekolah apabila melibatkan sumbangan luar.

"Dia yang nak sumbang, dia yang cari orang (untuk bina) dan dia buat sendiri. (JPN) tidak terlibat," katanya lagi yang enggan mendedahkan identiti pihak yang terlibat membuat sumbangan berkenaan.

"Kita sudah dimaklumkan identiti mereka (yang membuat sumbangan dan membina jambatan) dan kita akan panggil mereka nanti ke jawatankuasa khas yang menyiasat perkara ini," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau yang turut menganggotai jawatankuasa berkenaan juga enggan mendedahkan kos yang terlibat untuk pembinaan jambatan gantung tersebut.

"Kalau orang nak bagi sumbangan, takkanlah kita nak tanya berapa dia nak bagi," katanya.

Jelasnya lagi, jambatan itu dibina bagi menghubungkan pusat kokurikulum di seberang sungai tersebut yang terletak berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang

"Pusat kokurikulum itu bukan untuk kegunaan sekolah itu saja tapi untuk semua sekolah dalam daerah Kinta Selatan," katanya.

Walaupun mengakui pusat ko-kurikulum itu terletak bawah seliaan Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan (PPD), tetapi beliau enggan mengesahkan sama ada proses pembinaan jambatan itu juga berada bawah tanggungjawab pejabat tersebut.

"Itu kita tidak tahu," katanya, termasuk apabila ditanya sama ada sumbangan untuk pembinaan jambatan tersebut juga dibuat melalui PPD tersebut.

Ditanya lagi sama ada JPN akan menggantikan jambatan yang runtuh itu, beliau sekadar berkata: "Setakat ini tak ada lagi. Kita tak tahu lagi".

Semalam, pengarah Jabatan Kerjaraya Perak, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad juga dilaporkan berkata jambatan gantung dibina tanpa mendapat kelulusan jabatannya.

Beliau juga memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya juga tidak mengetahui kontraktor yang terlibat dengan pembinaan jambatan tersebut.

Manakala Guru besar SK Kuala Dipang, Alwi Hashim memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau mengesahkan lima pegawai suruhanjaya bertemunya di pejabatnya di sekolah berkenaan selama dua jam mulai 12 tengah hari.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran soal siasat

Tiada ulasan: