Sabtu, 31 Oktober 2009

Thamrin nafi ramai Pemimpin PKR Sabah letak jawatan

SABAH DAILY


Khabar angin yang mengatakan ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini akan meletak jawatan bagi mengikut jejak langkah Datuk Jeffrey Kitingan adalah tidak benar.

Pengerusi Perhubungan PKR Sabah yang baru, Ahmad Thamrin Zaini berkata, pada masa ini beliau tidak mendengar apa-apa laporan mengenai perkara itu dan menganggapnya sebagai hanya sebagai satu spekulasi.

“Biarlah keadaan yang akan menentukannya, buat masa ini kita anggap dakwaan itu hanya spekulasi …. kalau betul pun ia mungkin hanya melibatkan segelintir sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau mengulas mengenai kemelut PKR Sabah yang dilihat semakin meruncing selepas Jeffrey meletakkan semua jawatan dalam parti itu dan ia diikuti Ketua Cabang Kota Kinabalu, Christina Liew yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kelmarin.

Keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin kanan PKR itu dibuat kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi parti itu melayan kehendak PKR Sabah sejak dahulu lagi.

Menurut Thamrin beliau tidak nampak dakwaan tersebut berasas kerana pada masa ini beliau mendapat sokongan daripada ahli akar umbi.

“Setakat ini saya nampak ahli parti dan pemimpin akar umbi akur dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan,” jelasnya.

Dalam pada itu ketika ditanya, mengenai tindakan yang akan dilakukannya bagi menghadapi krisis semasa yang melanda PKR beliau berkata akan menjelaskannya kemudian.

Ahmad Tamrin juga memaklumkan, beliau akan membuat kenyataan petang esok (hari ini) dalam sidang media yang akan diadakan selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin PKR Negeri.

Tiada ulasan: