Khamis, 21 Oktober 2021

Warisan sedia tanding semua kerusi Parlimen pada PRU15

 Ainul Illia

Kerjasama dengan MUDA dalam proses perbincangan: Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah membuat persediaan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keputusan untuk bertanding di semua kerusi Parlimen itu telah dibuat pada peringkat Majlis Tertinggi parti berkenaan.

Beliau berkata, partinya bersedia melebarkan sayap ke Semenanjung, dan menjalinkan kerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Katanya, kerjasama dengan MUDA itu adalah bagi membolehkan calon-calon MUDA bertanding di bawah logo Warisan pada PRU15.

“Kita menawarkan diri dan memutuskan untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen pada PRU15,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mengenai kerjasama dengan MUDA, Shafie berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan sebarang keputusan berkaitan akan diperhalusi.

“Kita mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai perkara ini, termasuk untuk memperhalusi bagaimana ia dapat kita realisasikan.

“Ia dilaksanakan sebaik mungkin dan disusun rapi bagaimana untuk memastikan penyertaan golongan muda ini boleh berkhidmat bagi menentukan masa depan negara, dapat kita jayakan.

“Kita sudah menyatakan kesediaan kerjasama (Warisan-MUDA). Kalau dapat kita jayakan, ini akan kita lakukan,” katanya.

MUDA ditubuhkan bekas Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bagaimanapun, sehingga kini pendaftaran MUDA masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Tiada ulasan: