Ahad, 3 Oktober 2021

Wanita cantik cuci kereta percuma setiap Jumaat

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
ALIA Fasha Jalani (kiri, baju merah) bersama rakannya yang bersama-sama mengusahakan pusat cucian kereta, Detailmode Carwash berhampiran Plaza Tol Kuantan di Kuantan, Pahang.

KUANTAN: Pusat cuci kereta, Detailmode Carwash berhampiran Plaza Tol Kuantan di sini mencipta kelainan tersendiri apabila menawarkan perkhidmatan cuci kereta percuma pada setiap hari Jumaat. 

Perkhidmatan tersebut bagaimanapun hanya terhad kepada 10 buah kenderaan terawal sahaja.

Pengarah Urusannya, Alia Fasha Jalani berkata, melalui pendekatan itu pihaknya secara tidak langsung menghargai pelanggan dan memberi peluang kepada mereka yang mahu pendapatkan servis percuma. 

“Keistimewaan yang kami berikan bukan hanya pada hari Jumaat, sebaliknya 20 peratus diskaun perkhidmatan turut diberikan kepada pelanggan yang menjadi ahli Detailmode Carwash,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Alia Fasha berkata, dia bersama beberapa rakan wanitanya memulakan operasi pusat cucian kereta itu seminggu lalu dan mereka juga pekerja di situ. 

“Kami mengambil inisiatif membuka pusat cucian kereta ini memandangkan ramai wanita sekarang hilang kerja sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 di seluruh negara.

“Pembukaan perniagaan ini bagi membuka peluang pekerjaan dan membantu rakan-rakan wanita lain yang turut terjejas akibat wabak itu,” katanya.

Berhubung perancangan akan datang ujarnya, pihaknya akan membuka dua lagi cawangan Detailmode Carwash yang menggunakan konsep sama di sekitar pusat bandar Kuantan dan Pekan, bulan ini.

“Pelanggan yang ingin mengetahui lanjut dan membuat temu janji mencuci kereta, boleh hubungi kami di talian 01137470518,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: