Pengisytiharan bolehkan pihak berkuasa kesan aset individu berjawatan dalam politik
BANGI – Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digesa mengisytiharkan semua aset sama ada di dalam atau luar pesisir.
Saranan tersebut adalah bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan sebarang aset atau harta baharu dimiliki oleh Ahli Parlimen terutama mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti politik.
Presiden Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, kerajaan harus bertindak tanpa rasa takut dan pilih kasih untuk menyiasat nama-nama disebutkan dalam Kertas Pandora untuk mengetahui kemungkinan kesalahan dan rasuah yang berlaku.
“Salah satu cara untuk mengatasi aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram yang disimpan dalam akaun luar pesisir adalah dengan memperkenalkan pusat pendaftaran untuk pemilikan bermanfaat syarikat berdaftar di Malaysia dan syarikat yang menyimpan dana di Labuan.
“Pemilik syarikat ini adalah orang yang benar-benar memiliki, menikmati dan mengawal syarikat itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegas beliau, perkara itu memainkan peranan penting mengenai ketelusan pemilik sebenar sebuah syarikat.
Pendedahan Kertas Pandora yang dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) telah memetik beberapa figura penting negara berkaitan pemilikan akaun luar pesisir sepanjang 25 tahun lalu.
Antara individu dikaitkan menerusi
pendedahan berikut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi; ahli perniagaan, Tun Daim Zainuddin bersama beberapa ahli
keluarganya serta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul
Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan