Ahad, 3 Oktober 2021

Universiti awam kena patuh arahan kurangkan yuran 20%, kata Noraini

Kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku dalam keadaan pandemik yang
banyak menjejaskan kehidupan masyarakat, kata Menteri Pengajian Tinggi 
Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR: Semua universiti awam (UA) perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20% kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.

Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada semua UA terbabit sebelum ini.

“Langkah ini selaras dengan usaha KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) untuk terus mempertingkat usaha ke arah menjaga kebajikan mahasiswa khususnya di bawah inisiatif #KPTPrihatin,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang banyak menjejaskan kehidupan masyarakat terutama dari segi ekonomi, kenaikan yuran tidak seharusnya berlaku.

Terdahulu, beberapa media melaporkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa universiti itu memberi maklum balas berhubung isu kenaikan yuran pengajian kepada pelajar baharu sesi 2021/2022.

Ia susulan kenaikan yuran sebanyak 10 hingga 60% yang dikenakan universiti itu dianggap tidak munasabah dalam situasi negara ketika ini.

Tiada ulasan: