Ahad, 3 Oktober 2021

UMNO perlu bincang hala tuju parti

Oleh MOHD RIFAAT ABD. HAMID

MAHDZIR KHALID

ALOR SETAR: UMNO perlu membuat keputusan secara konsensus bagi menentukan pendirian parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan itu termasuk menentukan hala tuju parti untuk bekerjasama dengan parti lain atau tidak dalam pilihan raya umum nanti.

“Semua perkara ini perlu dibawa kepada parti untuk dibincangkan. Biar ada keputusan di peringkat parti sebab kita akan hadapi pilihan raya. Biarlah ada keputusan secara konsensus dalam UMNO sendiri.

“Sebab UMNO pun ada pendirian sendiri dan kalau kita lawan bercakap takut nanti makin tegang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pusat servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 disifatkan sebagai sebuah realiti politik yang harus dihadapi.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara terbabit dan bersedia sekiranya Bersatu terpaksa berhadapan dengan UMNO pada PRU-15.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sehingga kini belum ada pertemuan atau perbincangan dalam kepemimpinan tertinggi UMNO mahupun dengan Bersatu mengenai perkara itu.

Katanya, UMNO juga mempunyai pendirian sendiri dan perkara itu telah dinyatakan dalam Perhimpunan Agong UMNO 2020.

“Semua pihak lebih baik berdiam diri dahulu kerana perjalanan PRU-15 masih jauh,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: