Sabtu, 23 Oktober 2021

Umno bertanding solo: ‘Cakap Zahid tak boleh pakai’ – Guan Eng

 MALAYSIA POST

Umno bertanding solo: ‘Cakap Zahid tak boleh pakai’ – Guan Eng

PAKATAN Harapan (PH) diingatkan jangan terlalu ghairah untuk mempercayai pertembungan tiga penjuru bakal berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan hadapan.

Bagi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pendirian Umno yang tegas tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka nanti tidak boleh dijadikan ukuran itu sebagai keputusan yang telah dimuktamadkan.

Katanya, masih terlalu awal untuk PH mempercayai kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan bertanding secara solo atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 20 November ini.

“Kerana ini adalah respon Zahid Hamidi, yang menyatakan tak mahu bekerjasama dengan PN.

“Kalau Zahid tak sebut macam ini, Muhyiddin dan PN tidak akan jawab mereka akan bertanding pada semua 28 kerusi.

“Oleh kerana apa yg dia (Zahid) cakap tak boleh pakai, jangan kita terlalu ghairah mengatakan ada pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang menyifatkan Ahmad Zahid adalah Presiden Umno paling lemah dalam sejarah parti itu, lazimnya akan mengeluarkan kenyataan yang tidak sama dengan tindakan yang dilakukannya.

“Perkara pokoknya ialah adakah apa yang disebutkan oleh Zahid boleh pakai. Biasanya kalau Presiden Umno cakap macam tu, itu adalah muktamad.

“Tapi saya melihat, Presiden Umno ini adalah yang paling lemah dalam sejarah Umno, kerana itu apa yang dia cakap tak boleh pakai. Ada banyak kes lah, saya tak payah sebutlah.

“Ini mungkin tidak berlaku, kerana sebagai Presiden Umno yang paling lemah, cuma boleh cakap tak akan bekerjasama dengan Bersatu, dia tak ada kuasa langsung. Biasanya boleh pakai, tapi saya rasa tak boleh pakai,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

Justeru, Guan Eng berkata, dalam firasatnya pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan PN pada PRN Melaka kemungkinan besar tidak akan berlaku.

“Kalau tak boleh pakai, kemungkinan pertandingan tiga penjuru tak akan berlaku. So awak tengoklah, buktikan. Zahid cakap takan bekerjasama dengan Bersatu, ini jadi ke tak jadi.

“Saya rasa dia begitu lemah, tak jadi. Kalau dia benar-benar berkuasa, tolong, buktikan dalam aspek calon tak bekerjasama dengan Bersatu, bertanding sendiri,” katanya.

Kelmarin, Ahmad Zahid berkata, Umno menoktahkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam setiap pilihan raya selari dengan ketetapan yang diputuskan perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu.

Susulan itu, semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, PN akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada PRN ini. – Malaysiapost

Tiada ulasan: