Selasa, 5 Oktober 2021

Tuntut Ismail Sabri tunai janji, dulu ketika pembangkang pernah gesa haramkan Dong Zong

 Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Ada pemimpin yang 'bermuka-muka', depan konon bela bangsa Melayu, tapi bila berkuasa terus berubah

BANGI – Hampir dua tahun rakyat berdepan pandemik COVID-19 sehingga terpaksa ‘berkurung’, hilang pekerjaan dan lebih malang perlu menghadap krisis politik pemimpin berebut kuasa. 

Namun, selepas wabak beransur pulih, rakyat  disajikan pula dengan laporan sekolah persendirian Cina diberi peruntukan sebanyak RM15 juta oleh Kementerian Kewangan.

Walhal, rakyat khususnya pribumi Melayu sedang mengalami kesengsaraan akibat dasar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan begitu lama, kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat.

Beliau kesal ramai usahawan Bumiputera bankrap, maahad tahfiz, sekolah pondok, sekolah agama pula  ditutup kerana tidak mampu beroperasi akibat PKP dan prosedur operasi standard (SOP).

“Tiba-tiba sekolah persendirian bangsa Cina yang dapat dulu peruntukan RM15 juta.

“Sepatutnya tumpuan bantuan didahulukan kepada sektor ekonomi Bumiputera, terutama peniaga kecil dan sederhana yang banyak menanggung kerugian, institusi kebajikan dan agama, maahad tahfiz, sekolah pondok, madrasah, masjid, surau, institusi rawatan pemulihan akhlak, warga emas, anak yatim dan sebagainya.

“Mereka yang sepatutnya diberikan peruntukan oleh kerajaan, namun sedihnya sekolah lain pula yang diberikan bantuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Tan berkata, Presiden MCA, Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon dana khas untuk sekolah persendirian Cina pada 29 Januari 2021.

Pada 19 April, Kementerian Kewangan membalas surat tersebut untuk memberitahu bahawa dana khas itu telah diluluskan.

Kesal dengan sikap berat sebelah itu, Ustaz Masridzi berkata, pihaknya sudah banyak kali menggesa pengharaman pertubuhan Dong Zong yang rasis, bahkan hingga ke peringkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Kita dah bantah bukan setakat lapor polis tapi hingga desak RoS haramkan Dong Zong. Namun sikap pemimpin kita banyak bermuka-muka. Di depan orang Melayu kata nak bela bangsa Melayu, tapi bila berkuasa cepat sahaja berubah bagi muka kepada bangsa lain.

“Perangai ini sejak PM terdahulu lagi. NGO Melayu termasuk PEMBELA nak jumpa pun begitu susah nak dilayan tapi untuk NGO Cina, termasuk Hua Zong terus bagi keistimewaan berjumpa.

“Perangai begini nampaknya bersambung lagi sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat sudah jemu dan bosan dengan permainan orang politik begini, sedangkan peluang telah diberi, kuasa juga sudah di tangan, namun keluhan demi keluhan rakyat pribumi yang susah di bawah seolah-olah tidak dilayan.

“Janganlah sampai rakyat pribumi yang susah tidak dibantu akan terus menyumpah dan menuntut janji hingga ke akhirat nanti. Janganlah sampai sumpah janji dengan nama Allah waktu lantikan jawatan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT nanti. Tunaikanlah janji.

“Berlaku jujurlah dan jagalah prinsip serta integriti dalam perjuangan. Kuasa yang ada hanya sementara. Jangan ulangi kesilapan dan kezaliman pemimpin-pemimpin yang terdahulu. 

“Bak kata pepatah Melayu, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya,” katanya.

Dua tahun lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika ini sudah menjawat jawatan Perdana Menteri -‘ pernah memberi peringatan kepada Dong Zong bahawa mereka perlu ingat dan sedar di mana mereka berpijak dan langit mana yang mereka sedang dijunjung..

Beliau di Dewan Rakyat menegaskan, negara ini adalah Tanah Melayu dan majoritinya masih Melayu Islam.

Ismail juga amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong ini merupakan satu pertubuhan yang rasis dan justeru itu beliau mencabar kerajaan supaya mengharamkan Dong Zong.

Tiada ulasan: