Selasa, 26 Oktober 2021

Tiada rakyat asing disekat melancong ke Langkawi mulai 15 November


Malaysia tidak menyenaraikan mana-mana negara dilarang melancong ke Langkawi menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi yang akan dilaksanakan mulai 15 November ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia susulan protokol ketat yang disediakan terhadap pelancong antarabangsa yang ingin melawat pulau peranginan itu bagi menghalang penularan Covid-19.

Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara, katanya hari ini.

Antara protokol dan prosedur operasi standard (SOP) bagi gelembung pelancongan antarabangsa itu, termasuk pelancong dewasa perlu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, menggunakan khidmat ejen pelancongan berdaftar, serta menjalani ujian saringan.

“Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

“Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

Menurutnya gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Sementara itu, Langkawi hari ini mencatat 19 jangkitan baharu menjadikan kes aktif di pulau itu kini sebanyak 257 kes. Secara keseluruhan Langkawi merekodkan 6,127 kes positif dengan 5,794 pesakit telah sembuh dan 76 kematian.

Sepuluh daripada kes baharu itu dikesan melalui saringan bergejala, kontak rapat (lapan), dan satu saringan pra pembedahan.

Tiada ulasan: