Isnin, 25 Oktober 2021

Selesaikan kelemahan tadbir urus Tanah Rizab Melayu

 Siti Hafidah

Perketat syarat urus niaga, pemajuan aset tanah rizab

BANGI – Usaha ke arah mengukuhkan pengawalan dalam pengekalan keistimewaan orang Melayu harus dilakukan khususnya dalam menyelesaikan kelemahan tadbir urus Tanah Rizab Melayu.

Antara kelemahannya termasuklah penyimpanan rekod pembatalan status yang tidak diganti, geran tanah belum disahkan, Tanah Rizab Melayu yang dibatalkan dan digantikan tidak diwartakan segera seperti diperuntukkan dalam Enakmen Rizab Melayu dan Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, penyimpanan dan pengurusan rekod dan maklumat Tanah Rizab Melayu yang tidak lengkap dan tidak dikemaskini.

Penyelidik Bersekutu Pusat Kajian Harta Tanah (CRES), Dr Fatin Afiqah Md Azmi berkata, taraf ekonomi dan kuasa beli rendah berbanding kaum lain di Malaysia juga menyebabkan saiz pemilikan Tanah Rizab Melayu yang dimiliki bersama mengikut syer adalah kecil.

“Pemilikan saiz tanah kecil ini menyebabkan tanah tidak ekonomik dan akhirnya tidak mampu menjana pendapatan sepatutnya.

“Ini turut mendorong pemilik Tanah Rizab Melayu untuk melakukan urus niaga dengan menjualnya dan ada melakukan penjualan haram kepada bukan Melayu atas faktor modenisasi dan perniagaan,” katanya menerusi artikel disiarkan Berita Harian.

Justeru, beliau menegaskan, langkah penyelesaian efektif amat penting untuk mengekalkan Tanah Rizab Melayu di negara ini.

Antara cadangan termasuk memperketatkan syarat urus niaga dan pemajuan aset ini, pembentukan badan khusus untuk menguruskannya, pewujudan pangkalan data khusus untuk penyimpanan data Tanah Rizab Melayu.

Turut termasuk kempen peningkatan kesedaran dan kepentingan terhadap pengekalan dan pengukuhan Tanah Rizab Melayu menerusi bengkel, webinar, poster, penyelidikan geran dan sebagainya.

“Prof Dr Ismail Omar melalui penulisannya dalam BH bertarikh 19 Mac 2020 mencadangkan kaedah melepaskan nilai terpenjara Tanah Rizab Melayu melalui instrumen wakaf.

“Ia bukan sekadar pelaburan yang bijak, malah memenuhi ‘maqasid khassah’ serta mampu memberikan pulangan kepada pewakif serta pewaris tanah. Ia juga selari tunjang utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), iaitu menjana semula ekonomi negara rentetan pasca pandemik,” katanya.

Dari perspektif peguam, beliau berkata, strategi dikemukakan seperti dalam artikel tulisan Prof Salleh Buang mencadangkan pemodenan Akta Tanah Rizab Melayu perlu diteruskan dengan terancang dan sempurna, bagi melindungi hak keistimewaan orang Melayu khususnya.

“Tuntasnya, pelbagai usaha harus diperkukuhkan bagi melindungi dan mengekalkan tanah rizab Melayu supaya legasi dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 masih dapat dinikmati generasi berikutnya,” katanya.

Tanah simpanan Melayu atau Tanah Rizab Melayu satu jaminan atau janji dalam pengekalan keistimewaan kepada orang Melayu di Malaysia.

Ia satu tuntutan daripada tujuh wasiat dinyatakan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 1957.

Tiada ulasan: