Ahad, 24 Oktober 2021

Sekolah Johor, Terengganu dibuka ikut Fasa 4 PPN 7 November

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

PETALING JAYA: Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan bagi Johor dan Terengganu mengikut ketetapan Fasa 4 Program Pemulihan Negara (PPN), bermula  7 November ini.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, ia selaras dengan penetapan pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan fasa baharu yang dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan.

Setakat ini, katanya, institusi pendidikan bagi kedua-dua negeri terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 25 Oktober.

“Pengoperasian Fasa 3 PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah  Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, tingkatan 6 Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

“Bermula 7 November 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di negeri Johor dan Terengganu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 PPN. Namun, sekolah kerajaan bawah  di negeri Johor dan Terengganu hanya memulakan operasinya pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim Kementerian Pendidikan sempena perayaan Deepavali,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan tersebut  turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah. 

“Bagaimanapun, institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing. 

“Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi negeri Johor dan Terengganu bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: