Jumaat, 1 Oktober 2021

Saya tidak urus pengosongan barangan peribadi PM keenam - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, beliau tidak menguruskan soal pengosongan barangan peribadi milik Perdana Menteri keenam di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.

Ini kerana, katanya, soal itu bukan tugas dan tanggungjawab Perdana Menteri berikutan ia diuruskan oleh penjaga kompleks kediaman terbabit.

"Saya tidak menguruskan soal itu kerana di sana ada penjaga. Saya kurang pasti sama ada ia ada daftar inventori perabot kerana itu bukan bidang tugas atau tanggungjawab saya.

"Saya juga tidak masuk ke sana (Kompleks Seri Perdana) bagi membolehkan kerja pembaikan dan pengubahsuaian dilakukan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya hari ini yang mengatakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesyorkannya menyatakan perolehan perabot bagi kerja pengubahsuaian Kompleks Seri Perdana.

Ia memandangkan kebanyakan perabot milik peribadi bekas perdana menteri keenam dibawa keluar daripada kediaman rasmi itu.

Beliau berkata, perolehan perabot itu bagi memastikan perabot mencukupi serta keperluan lain.

"Jadi perkara berbangkit itu antaranya adalah perabot, termasuk lampu hiasan candelier, barangan yang ada dalam kediaman itu dikatakan milik Perdana Menteri keenam.

"Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya mengatakan tidak kisah kalau itu hak beliau (seperti didakwa) dan terserah kepada JPM untuk memberikan kebenaran untuk beliau membawa keluar barangan itu.

"Untuk tujuan kita boleh memulakan penambahbaikan dan sebagainya itu, maka itulah langkah yang diambil.

"Jadi, ada perkara yang berbangkit adalah kerana iaitu perabot, termasuk candelier serta barangan lain dibawa keluar kerana ia milik peribadi," katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata oleh yang demikian segala urusan membabitkan pemindahan itu bawah pengurusan JPM.

Media semalam melaporkan, kerajaan mengesahkan kerja-kerja baik pulih Kompleks Seri Perdana membabitkan kos RM38.5 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dilaporkan berkata, projek itu diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac 2021.

Bagaimanapun, pembangkang mempersoalkan projek berkenaan yang didakwa dilakukan ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Muhyiddin dilaporkan berkata, ketika mula menjawat jawatan itu pada Mac tahun lalu, beliau menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana.

Beliau berkata, kerosakan itu membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang sudah lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung yang sudah rosak atau usang.

Jelas beliau lagi, kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem paip menyebabkan kerosakan perabot 'built-in', lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti pendingin hawa perlu dibaik pulih kerana sudah terlalu usang dan menurut pakar, sistem pendawaian berusia lebih 20 tahun boleh menyebabkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

Tiada ulasan: