Isnin, 18 Oktober 2021

‘Saya terjah sebab nak selamatkan Iqbal yang telah disihir’

 Oleh NUR EMIRA SAIZALI

VIDA mendakwa Iqbal menjadi mangsa ilmu hitam individu berniat jahat yang cemburukan kebahagiaan dan kekayaannya.

PETALING JAYA – “Saya terjah sebab ingin selamatkan Iqbal yang sudah disihir dan dia tidak sedar mengenai hal tersebut.”

Demikian respons usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida menjelaskan sebab dia menerjah rumah bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli pada pukul tiga pagi semalam.

Vida dalam satu pendedahan menerusi Instagramnya berkata, dia nekad melakukan hal tersebut selepas meminta petunjuk Allah SWT bagi menyelamatkan kekasih hatinya daripada terus menjadi mangsa ilmu hitam pihak tidak bertanggungjawab yang iri terhadap kebahagiaan dan kejayaannya dalam perniagaan.

“Saya melakukan solat tahajjud untuk meminta petunjuk daripada Tuhan, selepas saya buat, saya nekad pergi. Realitinya Iqbal sudah disihir dan dia tidak rasa dia sedang sakit.

“Saya sudah kenal dia selama tujuh tahun, kulit dia putih pun sudah jadi warna kelabu asap. Bawah mata juga sudah gelap dan saya perlu selamatkan dia,” katanya.

Meskipun dihentam teruk, Vida atau nama sebenarnya Hasmizah Othman tidak menghiraukan apa sahaja yang skeptikal dan kecaman netizen demi menyelamatkan hidup bakal suaminya itu.

Bahkan, dia juga sanggup mengenepikan soal maruah semata-mata untuk hal tersebut.

“Nak cakap drama terpulang kepada semua. Sikit lagi kami akan dihalalkan.

“Orang keji saya. Orang kata saya tak move on. Tak apa. Untuk hal ini juga, saya sanggup merendahkan maruah pada pukul 3 pagi demi mencari lelaki muda yang menjadi kegilaan saya

“Sihir tersebut ditujukan kepada saya tetapi Iqbal yang kena. Ilmu hitam tersebut untuk buat saya tidak bahagia dan tidak kaya kerana dengki dengan kehidupan serta perniagaan saya,” ujarnya.

Bercakap tenang cincin yang diberikan kepada Iqbal, kata Vida, cincin berkenaan juga sudah laa tersimpan di dalam begnya namun tidak berkesempatan untuk diserahkan kepada lelaki muda itu.

“Cincin tersebut memang sentiasa dalam beg dan dia juga sudah lama menginginkannya. Bila jumpa dia, saya beri terus. Tiada isu pun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Vida juga turut menunjukkan fotonya bersama Iqbal yang kelihatan sugul berbanding sebelum ini.

Vida juga turut melahirkan rasa kecewa dengan individu yang ingin menjatuhkan dirinya serta meminta agar berhenti daripada melakukan perkara terkutut tersebut.

“Saya maafkan orang itu tetapi tolonglah jangan buat lagi,” ujarnya lagi.

Semalam, Kosmo! melaporkan Iqbal terkejut selepas diterjah masuk usahawan berkenaan di kediamannya sekitar pukul 3 pagi semalam.

Iqbal menerusi beberapa hantaran dalam InstaStory memberitahu, dia tidak menyangka Vida sanggup datang ke rumahnya hanya kerana ingin menyerahkan sebentuk cincin yang dibelinya.

Terdahulu, pasangan itu merancang mendirikan rumah tangga pada Disember depan tetapi hubungan mereka kini dilanda badai seperti tidak mendapat restu kedua-dua anak Vida dan sebagainya.

Tidak setakat itu, Iqbal turut memberitahu hatinya sudah tawar dan telah membatalkan tempahan hotel untuk hari bahagianya bersama Vida. -K! ONLINE

Tiada ulasan: