Jumaat, 15 Oktober 2021

Pulau Batu Puteh: Sultan Johor mahu penjelasan tindakan kerajaan Tun M dulu

Siti Hafidah

Mengapa soal kedaulatan Johor seperti tak penting pada waktu itu?

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu tindakan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab melakukan kecuaian dalam proses permohonan semakan dan pentafsiran Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.

Baginda mahukan penjelasan di sebalik tindakan kerajaan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018 untuk tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri?

“Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya,” titah baginda menerusi Royal Press Office hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatakan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan melibatkan kes Pulau Batu Puteh.

Sabtu lalu, Kabinet bersetuju agar pasukan petugas khas diwujudkan bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan yang bersesuaian, dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Tiada ulasan: