Selasa, 26 Oktober 2021

PRN Melaka: Kerajaan salah guna program rasmi untuk berkempen akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet

 Oleh ASLINDA NASIR

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

KUALA LUMPUR: Kebimbangan mengenai isu berat sebelah ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet.

Memahami kegusaran yang timbul dalam kalangan parti-parti politik yang bertanding, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan dibincangkan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka.

“Saya bercakap bagi pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan SPR. Di sini ada dua agensi atau kumpulan berbeza. Satu, SPR nak vibrancy democratic pratice, nak benarkan proses pemilihan, asalkan berpandu kepada Kementerian Kesihatan dan MKN.

“Jadi, undang-undang yang dilaksanakan di satu pihak, mesti dilaksanakan pihak lain. Saya tak boleh beri jaminan kerana apa yang berlaku di Sabah, kita buat SOP juga, tetapi rakyat, orang kempen, orang parti yang buat (tidak patuh SOP),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) yang mempersoal jika ada tindakan menteri yang menyalahgunakan program rasmi kerajaan untuk berkempen di Melaka.

Jelas Saifudin, adalah tidak adil sekiranya ahli politik daripada kerajaan boleh menggunakan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi pembangkang perlu berpandukan SOP oleh SPR yang menghalang sebarang kempen pada PRN nanti.

“Jadi, menteri, mari kita berterus terang, sama ada menteri boleh beri jaminan, bila kempen berlaku selama 11 hari nanti, antara 8 hingga 20 November, apa kata Menteri Kanan Pertahanan pergi Kem Sungai Udang berkempen dengan askar.

“Mengikut Fasa 4 PPN tak salah, kerana ia majlis rasmi kerajaan. Sahabat saya Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkempen dalam Program Beli Barang Buatan Malaysia. SOP PPN tak salah, SOP SPR salah tak?

“Jadi Yang Berhormat Menteri, kita tak mahu double standard dari segi pelaksanaan, kerajaan pergi kena ikut SOP MKN, kita pergi pula kena ikut SOP SPR. Ini akan timbulkan ketegangan, kemarahan sukar dikawal,” tegasnya. UTUSAN

Tiada ulasan: