Isnin, 25 Oktober 2021

Peraturan menunggu 15 hari untuk tunai umrah kedua dimansuhkan

KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi memansuhkan peraturan menunggu 15 hari untuk menunaikan antara umrah pertama dan kedua yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Saudi Gazette memetik kenyataan kementerian itu melaporkan, jemaah boleh segera membuat tempahan menunaikan umrah berikutnya selepas tamat tempoh permit umrah yang dibuat menerusi aplikasi  atmarna dan Tawakkalna.

Baru-baru ini, Kementerian Haji dan Umrah menetapkan jarak sehingga 15 hari untuk mengeluarkan permit umrah kedua bagi jemaah untuk semua peringkat umur.

Seorang jemaah yang mendapat permit menunaikan umrah boleh membuat tempahan untuk umrah kedua pada penghujung tempoh 15 hari selepas menunaikan umrah pertama.

Menurut kementerian itu, agak sukar untuk mendapatkan permit menunaikan solat di Masjidilharam dalam tempoh lebih 24 jam.

Bagaimanapun jemaah boleh memohon permit kedua dengan segera sejurus tamat permit yang pertama.

Arahan terbaharu itu dibuat susulan keputusan kerajaan memberi kelonggaran terhadap langkah keselamatan berkaitan Covid-19 dan protokol pencegahan dengan membenarkan umrah dan solat di dua masjid suci termasuk ziarah ke Al-Rawda Sharif di Masjidilhram dalam kapasiti penuh bermula 17 Oktober.

Hanya jemaah dan umat Islam berusia 12 tahun ke atas dan melengkapkan status imunisasi kesihatan mereka pada aplikasi Tawakkalna setelah divaksinasi dengan pelalian Covid-19 dibenarkan menunaikan umrah dan solat di dua masjid suci.

Menurut kemaskini terbaharu yang berkuatkuasa selepas 10 Oktober itu, aplikasi Tawakkalna akan memaparkan status kesihatan jemaah jika sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Namun syarat dos vaksin tertakluk kepada kelulusan Arab Saudi iaitu hendaklah dari syarikat Pfizer-BionTech, Oxford-AstraZeneca dan Moderna atau satu dos vaksin Johnson & Johnson.

Tiada ulasan: