Ahad, 3 Oktober 2021

Pecat Pengerusi MDEC gelar Menteri ‘IQ kubis’, gesa Pengerusi MASA


Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin menggesa supaya kerajaan memecat Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang mengeluarkan kenyataan berbaur serangan peribadi berhubung isu dasar kabotaj.

Abdul Hak berkata tindakan Rais melabel ‘IQ kubis’ terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai tidak wajar, malah percanggahan pendapat mengenai dasar kerajaan sepatutnya diketengahkan secara profesional dan tidak terpalit dengan serangan sedemikian

Katanya, ia kerana Malaysia adalah antara 100 negara di dunia yang turut mengamalkan dasar kabotaj, demi menjamin aspek kedaulatan, keselamatan dan kelangsungan industri maritim tempatan.

“MASA mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Pengerusi MDEC yang menyentuh mengenai IQ (darjah kecerdasan) Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Kenyataan Rais sebagai penyandang jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) amat memalukan industri dan rakan-rakannya kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, malah harus dipecat.

“Sebagai seorang profesional, kita boleh berbeza pendapat tetapi tidak sesekali mengambil jalan untuk melakukan serangan berbaur peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rais menerusi ciapan di Twitter Khamis lalu mengundang kontroversi apabila mendakwa Ka Siong yang mempunyai IQ bertaraf kubis tidak sepatutnya membincangkan dasar kabotaj di Malaysia.

Kritikan itu tercetus selepas Ka Siong tampil menjelaskan bahawa pelaksanaan dasar kabotaj tidak wajar dipersalahkan sebagai satu-satunya faktor apabila Malaysia diketepikan dalam projek sistem kabel dasar laut Apricot, kendalian firma gergasi rangkaian telekomunikasi dari Jepun.

Hal itu kerana pematuhan dasar kabotaj negara dalam projek pemasangan kabel masih kekal sejak ia dilaksanakan pada 1980, justeru dakwaan bahawa Malaysia kehilangan peluang menarik pelaburan daripada projek Apricot ekoran dasar berkenaan adalah tidak benar.

Sebaliknya, keputusan kerajaan untuk membatalkan pengecualian dasar kabotaj hanya tertakluk kepada kerja pembaikan dan bukan terpakai kepada pemasangan kabel dasar laut.

Presiden Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM), Soo Jee Main, pula berkata kebebasan bersuara sewajarnya digunakan untuk membincangkan isu secara ilmiah, dengan berpandukan analisis dan penilaian terperinci.

“Gunakan fakta dan perangkaan ketika mengupas sebarang isu, tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang merendah-rendahkan pihak lain atau berbaur provokatif,” katanya.

Tiada ulasan: