Isnin, 1 November 2021

Lelaki maut kenderaan terbabas langgar tiang

BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang sebelum terjunam ke dalam parit di Jalan Siakap, berhampiran Taman Serai Jaya, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata mangsa yang dikenali sebagai S Kunaseelan, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia akibat parah pada kepala.

Sementara rakannya, dikenali sebagai S Darshendran, 18, cedera ringan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada jam 2.50 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu dari arah Kuala Kurau menghala Bagan Serai.

"Kenderaan dipandu mangsa bersama rakan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang tiang Telekom di tepi jalan.

"Kenderaan mangsa kemudian terbabas ke dalam parit. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan proses bedah siasat akan dibuat selepas keputusan ujian COVID-19 diperoleh," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: