PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport antarabangsanya untuk sementara bermula 27 Okt hingga 30 Nov ini.
Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu bagi membolehkan Shafee bertemu anak lelakinya yang menyelesaikan pengajian di The New School Person, New York, Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan Berita Harian, ia selepas permohonan terbabit tidak menerima bantahan daripada responden dan perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Nithia.
Pada prosiding itu, Shafee diwakili peguam Wee Yeong Kang.
Muhammad Shafee didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri Najib Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Beliau didakwa menerima cek bernilai RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.
Bagi perbuatan itu, Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan dua tuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Perbicaraan kes Muhammad Shafee sepatutnya bersambung 14 Oktober lalu dengan berbaki tiga lagi saksi pendakwaan akan dipanggil memberikan keterangan.
Bagaimanapun, peguam utama kes itu, Harvinderjit Singh menghadiri upacara pengebumian pengajarnya yang bertindak selaku mentor sebelum beliau diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.
Mahkamah membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan menetapkan prosiding bersambung esok serta melapangkan tarikh pada Nov ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan