Jumaat, 22 Oktober 2021

Langkawi terima pelancong antarabangsa mulai 15 Nov, perlu penuhi beberapa syarat/SOP – PM

langkawi
LANGKAWI menjadi tumpuan rakyat tempatan yang telah lama tidak dapat melancong kerana COVID-19.

KERAJAAN telah membenarkan pelancong antarabangsa bercuti di Pulau Langkawi mulai 15 November ini dengan perlu memenuhi beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, keputusan isu dicapai susulan persetujuan Jawatankuasa Pengurusan Pandemik COVID-19 terhadap cadangan SOP Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), berhubung Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata, antara syarat tersebut ialah bagi kategori pra-pelepasan, kumpulan sasaran ialah pelancong yang berkualiti (high yield), lengkap vaksinasi, manakala anak atau jagaan di bawah 18 tahun, wajib hadir bersama ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksinasi.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 berkata, senarai negara yang dibenarkan adalah tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta Kementerian Luar Negeri (KLN).

“Tempoh tinggal yang ditetapkan, mestilah sekurang-kurangnya tiga hari dan tiada syarat kuarantin dikenakan.

“Mereka juga perlu menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas, dan hasil saringan perlu dikemukakan dalam bentuk sama ada digital atau cetakan, selain mempunyai insurans dengan nilai minima AS$80,000 (RM332,000),” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, pelancong antarabangsa juga perlu menggunakan khidmat pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC, mempunyai pasport dan visa ‘health declaration form LoU and Indemnity’ serta mempunyai aplikasi MySejahtera.

Sebaik tiba di negara ini, Ismail Sabri berkata, pelancong yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu menjalani Rapid Molecular Testing selama 1 jam 30 minit, manakala mereka yang terus ke Langkawi perlu menjalani RT-PCR pada hari kedua.

Katanya, jika didapati positif, mereka akan terus dibawa ke pusat pengasingan, kuarantin, atau hospital swasta mengikut kategori jangkitan COVID-19.

“Berkenaan ujian RT-PCR, beliau berkata, ujian saringan hari kedua memadai untuk mereka yang berada di Langkawi selama tiga hari, manakala mereka yang ingin melebihi lima hari, perlu menjalani ujian pada hari kelima.

“Semua kos ditanggung sendiri oleh pelancong,” kata beliau lagi.

Ismail Sabri berkata, penilaian akan dilakukan bagi projek rintis tersebut selama tiga bulan, sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain. – UtusanTV

Tiada ulasan: