Ahad, 24 Oktober 2021

Langgar penunggang basikal: Keterangan pemandu wanita diambil

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM,
 

PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 38.3 Jalan Cyberjaya (Dengkil) – Puchong dekat sini sehingga mengakibatkan penunggang basikal meninggal dunia semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ekoran pemandu itu gagal mengelak mangsa ketika berada di susur keluar jalan terbabit.

Katanya, kenderaan dipandu wanita berusia 28 tahun itu kemudian melanggar bahagian belakang basikal ditunggang lelaki berusia 57 tahun dari arah Puchong.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Azman mengingatkan penunggang basikal supaya berhati-hati ketika menunggang di jalan raya.

Ujarnya, penunggang basikal juga dimestikan mematuhi setiap aspek keselamatan yang ditetapkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

“Diingatkan supaya sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi menjamin keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain, walaupun tiada larangan untuk aktiviti berbasikal di jalan raya” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: