Khamis, 21 Oktober 2021

Kes Sajat: Kerajaan sedang perbetul isu bolos ke luar negara

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
NUR SAJAT

PETALING JAYA: Kerajaan diyakini sedang berusaha memperbetulkan kelompongan dalam aspek kawalan sempadan negara melibatkan individu yang cuba melarikan diri ke negara lain termasuk usahawan terkenal, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, soalan tambahan oleh Senator Dr. Yaakob Sapari (Selangor) tidak berkait dengan jawapan lisan yang diberikan sebelumnya.

“Soalan ini adalah berkaitan perairan Pantai Timur Sabah, tetapi soalan YB (Yang Berhormat) tadi meliputi Interpol dan hal-hal pembolosan di sempadan negara lain.

“Namun saya pasti usaha sedang dibuat untuk memperbetulkan perkara ini dan ia tidak berkaitan dengan soalan saya, tetapi pihak berkuasa sedang buat untuk pastikan ia tidak berulang,” katanya semasa sesi pemberitahuan pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Mastura berkata demikian menjawab soalan tambahan Yaakob bagaimana Muhammad Sajjad boleh terlepas ke luar negara ketika dia berada dalam buruan polis dan pihak berkuasa sudah melakukan kawalan serta pemantauan ketat di setiap sempadan negara.

Baru-baru ini, Muhammad Sajjad mengakui telah menemui kebahagiaan di Australia malah mendakwa dia bukan sahaja diterima sebagai wanita malah kerajaan negara itu banyak membantunya memulakan kehidupan baharu di sana.

Sebelum ini, usahawan itu dikesan melarikan diri ke Thailand namun ditahan pihak imigresen negara berkenaan pada 8 September lalu kerana memiliki passport tidak sah.

Terdahulu, Mastura menjawab soalan daripada Senator Datuk Jefridin Atan mengenai penambahbaikan dasar dan tindakan bagi kawalan keselamatan sempadan negara melibatkan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pencerobohan militan di Pantai Timur Sabah bersempadan dengan Filipina dan Indonesia.

Tiada ulasan: