Sabtu, 23 Oktober 2021

Kes Covid-19 di Selangor naik 4 hari berturut-turut, 12 kluster dikesan


Sembilan negeri hari ini merekodkan peningkatan kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, dengan Selangor mencatat kenaikan empat hari berturut-turut.

Kes harian di Selangor mula naik pada Selasa lalu dengan merekodkan 888 kes, sebelum meningkat kepada 1,004 kes pada Rabu, 1,027 (Khamis) dan hari ini sebanyak 1,322 kes, menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri.

Berdasarkan data dikeluarkan hari ini, lapan lagi negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatat peningkatan kes ialah Sarawak, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya, dan Perlis.

Sarawak merekodkan 750 kes baharu hari ini berbanding 725 semalam, diikuti Kelantan (589 kes baharu, 540 semalam); Pulau Pinang (440 hari ini, 381 semalam); dan Kedah (432 baharu, 319 semalam).

Pahang pula merekodkan 302 jangkitan baharu hari ini berbanding 294 semalam; Negeri Sembilan (192 baharu, 167 semalam); Putrajaya (44 baharu, 29 semalam); dan Perlis (43 baharu, 33 semalam).

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 12 kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya 5,717 kluster dengan 5,137 telah ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 580 kes lagi masih aktif, kurang berbanding 591 yang direkodkan semalam, setelah 11 kluster ditamatkan.

Menurutnya daripada jumlah kluster baharu itu, enam melibatkan jangkitan di tempat kerja, tiga berkaitan pendidikan, komuniti (dua) dan satu kluster keagamaan yang dikesan di Hulu Perak membabitkan 18 daripada 24 individu yang disaring.

Enam kluster tempat kerja melibatkan dua di Johor iaitu di Batu Pahat membabitkan 17 individu daripada 54 yang disaring, dan Kulai (tujuh daripada 173 individu yang disaring).

Dua kluster tempat kerja turut dikesan di Selangor melibatkan Hulu Langat dan Sepang seramai 47 individu daripada 155 yang disaring, serta Klang (12 individu daripada 26 yang disaring).

Kluster tempat kerja di Melaka Tengah melibatkan 26 daripada 165 saringan dan kluster Jalan Stesen Sentral Tiga membabitkan Lembah Pantai, Cheras serta Titiwangsa di ibu negara dengan lima individu daripada 31 saringan.

Sementara kluster berkaitan pendidikan di kesan di Segamat, Johor melibatkan 26 individu daripada 75 saringan; Sepang, Selangor (14 individu daripada 27 saringan); dan Titiwangsa, Kuala Lumpur (11 individu daripada 50 saringan).

Kluster komuniti pula direkodkan di Tenom, Sabah melibatkan 50 individu daripada 88 yang disaring, dan Temerloh serta Maran di Terengganu (29 individu daripada 180 saringan).

Pada masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan seramai 7,630 pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,311,213 kes atau 95.5 peratus daripada kumulatif positif sebanyak 2,420,222 kes.

Mengenai jangkitan hari ini, beliau berkata daripada 6,630 kes baharu itu, 6,615 adalah kes tempatan yang turut melibatkan 285 pesakit bukan warganegara, dan 15 kes import termasuk empat bukan warganegara.

“Seramai 653 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 322 memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak 1.5 peratus atau 101 pesakit hari ini adalah dalam kategori 3, 4 dan 5, manakala 6,529 lagi kategori 1 dan 2,” katanya.

Tiada ulasan: