Rabu, 20 Oktober 2021

Kerajaan tidak kompromi golongan tolak vaksin mahu nikmati kelonggaran – Hishammuddin

MGF181021_PC-KEMENTERIAN-PERTAHANAN_00
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir pada sidang media khas di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK,.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan golongan antivaksin yang mahu menikmati kelonggaran yang diberikan kepada mereka yang telah menerima vaksin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, meskipun tiada paksaan dalam pemberian vaksin Covid-19, namun golongan antivaksin perlu sedar kesan terhadap pilihan mereka.

“Mereka yang merupakan antivaksin itu terpulang kepada mereka, tetapi jangan mereka rasa hak untuk menidakkan diri sendiri untuk divaksin bermakna bahawa kelonggaran-kelonggaran yang kita beri kepada golongan yang divaksinasi akan juga diperluaskan kepada mereka, itu kita tidak kompromi,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau setuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa kerajaan tidak menzalimi golongan yang menolak vaksin Covid-19.

Jelas Hishammuddin, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan nyawa rakyat terselamat daripada mudarat besar yang boleh dibawa oleh Covid-19.

“Kerajaan bukan mahu menganiayai atau menzalimi mana-mana pihak, namun dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 penting untuk kerajaan berusaha mengelak mudarat yang lebih besar, jadi apa yang kita mahu lakukan ini ialah untuk menjaga nyawa kepentingan ramai supaya mereka dapat melindungi nyawa yang lain,” tambahnya.

Baru-baru ini, Khairy dikecam kerana mengeluarkan kenyataan agak keras dengan menyatakan golongan yang menolak vaksin Covid-19 akan berhadapan dengan kerumitan untuk kembali kepada kehidupan yang normal, seperti kalangan yang sudah divaksinasi.

Menteri Kesihatan itu berkata, beliau terus komited untuk memeberi kesedaran tentang keberkesanan Covid-19, walaupun menerima pelbagai gelaran, termasuk dajal. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: