Rabu, 13 Oktober 2021

Kerajaan jamin bina semula dana KWAN


Kerajaan memberi jaminan akan “membina semula” dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang telah digunakan untuk rakyat ketika mendepani Covid-19, apabila keadaan ekonomi kembali pulih.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan menggunakan dana daripada kumpulan itu untuk tujuan yang betul dan telah membentangkan secara telus bahawa penggunaannya adalah untuk pembelian vaksin kepada rakyat.

“KWAN ditubuhkan pada tahun 1988, kira-kira 30 tahun lepas untuk generasi akan datang. Kalau bukan generasi sekarang, jadi generasi mana lagi? Pada masa ditubuhkan, kita berbalah. Menyimpan ini untuk apabila keadaan sukar.

“Saya percaya bahawa pandemik Covid-19 ini salah satu situasi yang amat sukar bagi negara dan global. Yang penting kita gunakannya untuk tujuan yang betul. Apabila ekonomi kembali pulih, kita akan membina semula KWAN yang kita gunakan untuk rakyat,” katanya dalam laporan Bernama.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditanya mengenai komen sesetengah pihak yang mempersoalkan tindakan kerajaan menggunakan dana KWAN dalam konteks ekonomi.

Pada April lepas, kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 (KWAN) yang membolehkannya menggunakan RM5 bilion daripada sejumlah RM19 bilion dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Tiada ulasan: