Sabtu, 2 Oktober 2021

Kematian turun 5 hari berturut-turut, hanya Kelantan catat peningkatan


Jumlah pesakit Covid-19 yang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam semalam turun lagi berbanding kelmarin – penurunan lima hari berturut-turut sejak 27 September lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laman sesawangnya COVIDNOW hari ini memaklumkan 121 pesakit meninggal dunia semalam, berbanding 192 kematian yang direkodkan dalam tempoh sama pada Khamis.

Pada 27 September kes kematian direkodkan adalah sebanyak 258, turun kepada 240 kes pada 28 September, dan 208 kes pada 29 September.

Semalam, hanya Kelantan sahaja yang merekodkan peningkatan jumlah kematian iaitu sebanyak 15 kes berbanding satu kes pada Khamis. Manakala, Negeri Sembilan, Melaka, Labuan dan Putrajaya mencatat sifar kematian.

Namun, jumlah kematian di Sarawak kekal tinggi apabila 25 pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam, berbanding 40 kes yang direkodkan pada Khamis.

Secara keseluruhannya, sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini pada awal tahun lalu sehingga semalam, 26,456 kes kematian dilaporkan.

Daripada jumlah itu, 5,302 pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau ‘brought in death’ (BID), termasuk 28 kes baharu semalam.

Kes aktif

Pada masa sama KKM turut melaporkan kes aktif turun berturutan sejak beberapa hari lalu dengan sehingga semalam sebanyak 160,413 kes dilaporkan, berbanding 164,536 kes pada Khamis, 169,718 (Rabu); dan 174,492 (Selasa).

Daripada jumlah kes aktif terbaharu itu, 132,642 pesakit menjalani kuarantin di rumah, turun lagi berbanding 136,436 yang dilaporkan pada Khamis, 140,598 (Rabu), dan 144,631 (Selasa).

Sementara itu, jumlah pesakit yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh negara sehingga semalam juga turun kepada 18,216 kes, berbanding 18,263 kes yang dilaporkan pada Khamis.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam 8,655 pesakit masih dirawat di hospital seluruh negara. Jumlah itu turun berbanding 8,913 pesakit yang direkodkan pada Khamis, 9,185 (Rabu), dan 9,278 (Selasa).

Daripada jumlah itu, 1,299 pesakit dirawat di hospital di Johor, diikuti Selangor (1,252); Sarawak (1,062); Sabah (991); Kelantan (807); Perak (718); PulauPinang (509); Pahang (379); Kedah (373); Kuala Lumpur (319); Terengganu (291); Negeri Sembilan (233); Melaka (197); Perlis (166); dan Putrajaya (59).

Unit Rawatan Rapi (ICU)

Sementara itu, seramai 900 pesakit sedang dirawat di ICU di seluruh negara, termasuk 488 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor mencatat jumlah tertinggi pesakit di ICU iaitu seramai 142 individu; diikuti Sabah (120); Sarawak (105); Perak (89); PulauPinang (78); Kedah (77); Johor (76); Kelantan (70); Kuala Lumpur (42); Pahang (32); Melaka (29); Terengganu (19); Negeri Sembilan (11); Perlis (tujuh); Labuan (dua); dan Putrajaya (satu).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK)

Data 1 Oktober 2021.

Lebih 20.31 juta atau 86.8 peratus daripada populasi dewasa di seluruh negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sejak PICK dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam.

Secara keseluruhan sebanyak 42,276,201 dos vaksin telah diberikan kepada golongan itu yang turut membabitkan hampir 22.06 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Semalam sahaja, 115,219 individu dewasa melengkapkan vaksinasi, manakala 15,287 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, bagi PICK Remaja pula, sebanyak 71,779 atau 2.3 peratus daripada penerima berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksinasi, manakala 50.4 peratus atau 1,586,008 lagi menerima sekurang-kurangnya satu doa.

Semalam sahaja 206,739 dos vaksin diberikan membabitkan 19,005 remaja melengkapkan dos kedua, manakala 87,734 menerima dos pertama masing-masing.

Secara keseluruhan, sehingga semalam hampir 44 juta dos vaksin telah diberikan kepada semua penerima yang layak membabitkan 20,389,622 atau 62.4 peratus individu lengkap divaksin, dan 23,645,337 atau 72.4 peratus menerima sekurang-kurangnya dos satu dos.

Semalam sahaja, sebanyak 237,245 dos diberikan membabitkan 134,224 penerima lengkap divaksinasi dan 103,021 menerima satu dos.

Kes baharu

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam turun kepada 11,889 kes berbanding 12,735 yang direkodkan dalam tempoh sama kelmarin.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu hingga semalam meningkat kepada hampir 2.26 juta kes.

Kadar kebolehjangkitan

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 1 Oktober 2021 untuk seluruh negara adalah 0.90 dengan tiga negeri mencatat Rt melebihi 1.0.

Melaka mencatat Rt 1.01, diikuti Putrajaya 1.03, dan Perlis 1.04. Negeri dan Wilayah Persekutuan lain mencatat Rt antara 0.83 dan 0.99.

Kluster baharu

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, 14 kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 5,491 kluster dengan 4,423 telah ditamatkan dan 1,068 masih aktif.

Daripada jumlah kluster baharu itu tujuh membabitkan kluster tempat kerja, enam (komuniti) dan satu kluster keagamaan yang dilaporkan di Hilir Perak melibatkan 29 individu.

Kes sembuh

Dalam tempoh 24 jam itu juga seramai 15,891 pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan kumulatif pulih sejak awal tahun lalu kepada lebih 2.07 juta pesakit.

Tiada ulasan: