Selasa, 19 Oktober 2021

Kanak-kanak maut terjatuh dari hotel

GEORGE TOWN – Percutian sebuah keluarga berakhir dengan tragedi apabila anak bongsu mereka maut dipercayai terjatuh dari hotel mereka menginap di Tanjung Bungah, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa, Nur Airis Hafeeya Faizal, 6, baru selesai mandi di kolam renang hotel berkenaan bersama lima ahli keluarganya.

Menurut ibu mangsa, Siti Norra Salleh, 44, mereka sekeluarga menginap di hotel berkenaan semalam bersama suami serta empat anaknya.

84A832D8-EB92-4D02-9D0B-40883E9F5FE5
Siti Norra.

Jelas Siti Norra, mereka sekeluarga dari Sungai Petani, Kedah sepatutnya menghantar anak sulungnya yang berusia 22 tahun ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Balik Pulau di sini, hari ini.

“Ketika kejadian kami semua mahu naik semula ke bilik untuk mengemas barang selepas mandi tingkat bawah hotel tersebut, namun tiba-tiba anak saya melulu masuk lif sebaik melihat orang awam keluar dari lif tersebut.

“Tiada seorang daripada kami yang sempat naik bersamanya ekoran pintu lif tutup dengan cepat. Susulan itu, kami mencari Nur Airis Hafeeya hampir 10 minit sebelum dikejutkan dengan berita penemuan mayat kanak-kanak di tingkat dua hotel tersebut.

56D15A57-58BD-41C7-84DD-BD83D251DD63
Siti Airis Hafeeya.

“Saya tergamam dan tidak sangka mayat yang ditemui itu adalah mayat anak bongsu saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lobi hotel tersebut.

Tambah Siti Norra, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan anak bongsunya itu walaupun ia merupakan dugaan berat buat mereka.

“Saya tak sangka jadi macam ini, baru seminggu saya kehilangan mak dan kini anak bongsu pula. Malah, pada hari kejadian saya meminta dia (Siti Airis Hafeeya) mencium jenazah mak buat kali terakhir, namun dia mengatakan tidak mengapa Hafeeya boleh jumpa tok di syurga dan baru saya faham maksudnya itu.

D63CC94F-E5E8-4873-B791-901FA8FD71EE
Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi
kejadian.

“Saya reda, Allah lebih sayang dia. Dia anak syurga,” katanya.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan pihak polis dan forensik baru selesai menjalankan siasatan di lokasi dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: