Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim (kiri) menunjukkan pelan perancangan semasa sidang media ketika melawat tapak cadangan pembinaan jambatan kedua Sungai Air Tawar di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada 18 Oktober 2021 di Kampung Datuk Hormat Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SABAK BERNAM: Jambatan baharu sepanjang 2.048 kilometer (km) di Sungai Air Tawar di sini merentas Sungai Bernam ke Pekan Hutan Melintang, Perak akan dibina bermula Januari tahun depan.
Projek persekutuan jalan luar bandar bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) membabitkan peruntukan RM220 juta bakal mewujudkan jaringan infrastruktur jalan raya menghubungkan kedua-dua negeri berkenaan, kata EXCO Infrastruktur.
Ir Izham Hashim menjelaskan projek yang dijangka siap Mei 2025 itu juga mampu mengurangkan kesesakan di jambatan sedia ada selain merangsang aktiviti ekonomi setempat.
“Projek akan memendekkan masa perjalanan dari Sungai Air Tawar ke Perak selama 30 minit tanpa perlu melalui laluan biasa (Jambatan Sungai Bernam).
“Malah, penduduk sekitar mudah mendapatkan kemudahan awam, pendidikan dan kesihatan,” katanya selepas melawat tapak cadangan projek berkenaan di sini semalam.
Menurutnya projek itu turut melibatkan pembinaan jalan sepanjang 1.2 km, pemasangan lampu di persimpangan jalan dan jambatan, sistem perparitan serta pengalihan utiliti.
Sementara itu, Ir Izham berkata Jalan Nipah sepanjang 8.1 km turut akan dinaik taraf selepas tender projek terbabit dikeluarkan akhir April tahun depan dengan jangkaan siap dalam tempoh lima bulan.
“Penambahbaikan ini akan memberikan laluan perhubungan lebih selamat,
selesa dan sempurna kepada penduduk sekitar Sungai Besar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan