Jumaat, 22 Oktober 2021

Hisham gesa BN perlu jalin kerjasama selari di peringkat pusat


Kerjasama dan persefahaman politik di peringkat Persekutuan dan negeri perlu selari dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia secara tidak langsung memberi isyarat UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu kerjasama dengan gabungan parti lain.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga bekas naib presiden UMNO itu berkata, ia perlu menjadi pertimbangan utama UMNO dan BN bagi pengukuhan parti yang mempunyai aspirasi serta matlamat sama.

“Pandangan peribadi saya, persefahaman dan kerjasama politik di peringkat Persekutuan wajar selari dengan negeri memandangkan kini kita semua berada di dalam barisan kabinet yang sama.

“Kerjasama politik yang kukuh antara parti yang mempunyai aspirasi dan matlamat yang sama wajar menjadi pertimbangan utama BN khususnya dalam persiapan ke arah PRN Melaka,” katanya dalam tulisan di Facebooknya.

UMNO dijangka akan membuat keputusan malam ini sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka.

Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang sudah bersedia untuk bergerak secara bersendirian dalam PRN kali ini, sehingga sekarang UMNO masih belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk bergerak sendirian atau bekerjasama dengan mana-mana parti.

Menteri Pertahanan itu berkata keputusan dan strategi BN untuk bekerjasama dengan parti yang mempunyai pemikiran selari semasa PRN harus dirunding dan dipertimbangkan secara serius demi menjamin kestabilan politik.

“Saya juga berpendapat keputusan dan pertimbangan strategi politik Barisan Nasional di #PRNMelaka amat penting kerana ia akan terus diperhatikan oleh rakyat,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 8 November serta tarikh mengundi awal pada 16 November dengan tempoh berkempen selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November.

Tiada ulasan: