MALAYSIA NOW
Gangguan tersebut dijangka bermula pada 9 pagi 13 Oktober hingga 9 malam 16 Oktober.
Hampir 1,000 kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air selam empat hari bermula 13 Oktober kesan daripada kerja-kerja pemulihan dan penyenggaraan di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa Satu.
Air Selangor berkata kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan tersebut telah tertangguh daripada jadual asal yang sepatutnya dijalankan pada 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang sebelum ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.
Sebanyak 998 kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Selangor dijangka mengalami gangguan air tersebut bermula 9 pagi 13 Oktober dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam 16 Oktober.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air negara (Span) bagi menaik taraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna ada masa hadapan,” kata Air Selangor dalam notis awal yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna bermula 5 petang 14 Oktober secara berperingkat setelah kerja menaik taraf dan penyenggaraan siap dan sistem agihan telah distabilkan.
Bagaimanapun tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan sistem agihan bekalan air.
Justeru, katanya, Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 105 lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Dalam pada itu, Air Selangor juga akan menyediakan 18 pili air awam mulai 14 hingga 16 oktober bagi kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air sementara bagi pelanggan komersial, pembelian air menggunakan lori tangki akan dibuka di empat stesen pengisian air setempat.
“Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan