Pakar berkata masih wujud
halangan untuk mencapai sasaran mampu diri yang berpunca daripada
kurangnya aktiviti hiliran dengan tumpuan tinggi diberikan kepada
tanaman industri.
Walaupun Malaysia baru-baru ini berada di ranking kedua Asia Tenggara selepas Singapura dari segi keselamatan makanan, pakar mengingatkan masalah struktur berkaitan perkara itu yang masih menghambat negara ini.
Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata isu utama yang berbangkit adalah berhubung sektor padi dan beras, mengatakan tahap pengeluaran padi suram walaupun peruntukan belanjawan yang besar diberikan kepada kementerian pertanian dari 2015 hingga 2017.
Bekas pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Universiti Putra Malaysia Fatimah Mohamed Arshad berkata walaupun peruntukan untuk pertanian meningkat empat kali ganda, pengeluaran padi masih tidak menunjukkan kemajuan.
Katanya pada 2008, pengeluaran padi Malaysia adalah 3.72 tan per hektar. Pada 2019, jumlah tersebut menurun 5% menjadi 3.5 tan sehektar.
“Tiada industri hiliran berasaskan padi dan beras yang meluas kecuali dedak untuk ternakan dan bihun,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Ini menjadikan nilai padi adalah rendah kerana tiada potensi untuk dijadikan keluaran yang bernilai tinggi.”
Menurutnya, kekurangan aktiviti hiliran menyebabkan industri tersebut lembab dan sumber padi tidak digembleng secara sepenuhnya.
“Negara lain seperti Jepun dan Thailand mempunyai banyak produk tambahan berdasarkan padi dan beras,” katanya.
Fatimah turut berkata kebimbangan lain adalah penggunaan tanah, kerana tanah pertanian diubah menjadi kawasan projek pembangunan seperti perumahan.
Beliau juga turut menyentuh isu dasar berat sebelah terhadap tanaman industri yang turut memberi kesan kepada pengeluaran makanan.
Sebagai contoh, katanya tenaman sawit mengambil bahagian terbesar dari segi penggunaan tanah, sementara penggunaan kawasan penanaman getah dan koko menyusut sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2020, bahagian tanah yang digunakan untuk perladangan kelapa sawit mencapai 73% sementara bagi penanaman makanan hanya menguasai 10%.
“Era kejayaan tanaman industri hanya bergantung dengan kelapa sawit,” katanya.
“Model estet hanya diamalkan dalam industri minyak sawit. Sudah tiba masanya Malaysia beralih kepada kekayaan semula jadinya, iaitu makanan.”
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) baru-baru ini turun dari tangga ke-28 ke 43 dalam senarai 113 negara.
Namun, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee memberitahu Dewan Rakyat penurunan itu disebabkan oleh perubahan skor yang dibuat Economist Intelligence Unit yang turut menyebabkan perubahan kedudukan bagi Singapura dan Australia.
Singapura jatuh dari tempat pertama ke tangga 20 sementara Australia turun dari tangga ke-12 hingga tangga ke-26.
Isu keselamatan makanan juga turut dibahaskan di Parlimen bulan lalu dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga turut menyebut perkara sama dalam ucapan perbahasannya mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan