Ahad, 24 Oktober 2021

Elak lompat parti: Gerakan sedia perjanjian untuk calon PRN Melaka tandatangani

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai bercakap kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sempena Hari Kemerdekaan ke-64 di Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2021.
Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sedang menyediakan satu perjanjian untuk ditandatangani calon-calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, perjanjian tersebut dibuat bagi mengelakkan berlakunya aktiviti lompat parti bagi calon yang mendapat mandat sebagai wakil rakyat pada PRN itu.

“Perjanjian itu belum kita putuskan lagi, tapi perjanjian itu untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko bahawa calon yang dipilih tidak akan lompat parti.

“Jadi, kita tengah proses buat perjanjian ini dan selepas proses itu siap kita akan umumkan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar perasmian Persidangan Perwakilan Negeri Wilayah Persekutuan 2021, sebentar tadi.

Dalam pada itu Dominic berkata, Gerakan turut mempertimbangkan syarat-syarat yang termaktub di bawah bendera Perikatan Nasional untuk PRN berkenaan yang mana parti pimpinannya akan meletakkan calon bukan sahaja yang dirasakan boleh menang sebaliknya, mampu menunaikan janji kepada rakyat.

Katanya, pemimpin-pemimpin parti Gerakan juga telah membuat keputusan untuk tidak melihat calon kepada sesuatu kaum, umur mahupun jantina.

Tambah beliau, bagi tujuan itu beberapa kriteria dilihat kerana ia merupakan sesuatu yang penting untuk dinilai sebelum nama seseorang calon itu hendak diketengahkan.

“Kita nak tunjukkan calon boleh menang. Semua parti yang mengambil bahagian dalam PRN dan PRU adalah untuk dapatkan mandat daripada rakyat, oleh itu kita sebagai satu parti parti politik apabila kita nak meletakkan calon kita tengok beberapa kritertia yang penting dan mesti dipertimbangkan dan kriteria-kriteria ini adalah penting untuk parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: