Sabtu, 2 Oktober 2021

Ebit Lew dipanggil lagi ke Bukit Aman

 Oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI

Ebit Lew

PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan telah memanggil semula pendakwah itu bersama isterinya ke Bukit Aman semalam.

“Pendakwah itu dan isterinya memberikan kerjasama untuk dirakam percakapan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan polis.

Terdahulu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew dipanggil buat kali pertama ke Bukit Aman untuk dirakam percakapannya pada 19 Ogos lalu berhubung siasatan dakwaan gangguan seksual.

Abd. Jalil sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – K! ONLINE

Tiada ulasan: