Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
SEPANG – Sering menerima mesej memohon bantuan termasuk masalah keganasan rumah tangga menjadi pendorong kepada pelakon Dynas Mokhtar menyertai Skuad Wanita Anti Jenayah atau Skuad Waja kerana mahu membantu golongan wanita yang berdepan dengan masalah.
Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar yang dilantik menjadi Ikon Skuad Waja berkata, sewaktu pelaksanaan ‘lockdown’ di Malaysia susulan pandemik Covid-19, dia banyak menerima mesej menerusi media sosial yang memohon bantuan daripada pelakon tersebut.
“Saya banyak terima mesej meminta bantuan, bukan dari segi kewangan tetapi sokongan. Antara masalah tersebut seperti keganasan rumah tangga, kekejaman dan ada juga daripada pembantu rumah yang tidak tahu nak buat apa kerana tersekat disebabkan tiada permit.
“Ada juga orang tempatan mesej tiada pekerjaan, ada juga isu wanita tidak bekerja dan suami melakukan keganasan bukan sahaja kepada dirinya malah anak mereka,” katanya ketika ditemui pada pelancaran penubuhan Skuad Waja yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di sini hari ini.
Ia ditubuhkan bagi meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat untuk mengambil tindakan bagi menghentikan keganasan terhadap wanita malah, antara kes disantuni skuad tersebut termasuk keganasan rumah tangga, gangguan seksual, jenayah siber dan membantu komuniti terkesan dengan pandemik Covid-19 bagi mendapatkan pekerjaan dan kemahiran yang boleh menjana pendapatan dengan merujuk kepada agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Dynas turut mengajak golongan wanita terutama yang menghadapi masalah untuk bersama dengan skuad tersebut.
“Sekurang-kurangnya kita boleh berkongsi masalah, dapat manfaat, sokongan dan maklumat untuk penyelesaian masalah yang dihadapi. Kita tidak mahu mereka tersekat dengan masalah dihadapi dan teruskan hidup dengan bebanan tersebut,” katanya.
Tambah Dynas, dia menerima pelawaan menjadi Ikon Skuad Waja lebih-lebih peranan skuad tersebut amat diperlukan oleh wanita sekali gus menyifatkan isu jenayah terhadap golongan itu perlu dibanteras bersama. -K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan