Khamis, 21 Oktober 2021

Dua ahli perniagaan didakwa guna alamat Istana Kinta pada kad pengenalan

Oleh ASLIZA MUSA
AFFENDY Abdul Aziz (kiri) dan Mohamad Halmi Warajemini dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan alamat Istana Kinta ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan diri enam tahun lalu. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Dua ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan alamat Istana Kinta ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan diri, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Halmi Warajemini, 55, dan rakannya, Affendy Abdul Aziz, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.

Menurut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa memberi maklumat palsu pada butir material kad pengenalan iaitu alamat penuh tempat kediaman mereka di Malaysia adalah kediaman diraja Istana Kinta.

Perbuatan itu dilakukan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pasar Besar Ipoh, Jalan Dato’ Onn Jaafar pada 26 Oktober 2015.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Subperaturan 25(1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sally Chay Mei Ling memohon jaminan RM10,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana perbuatan itu merupakan kesalahan serius dan mereka juga tidak mempunyai alamat tetap dan ahli keluarga di Perak.

Bagaimanapun, peguam Mohamad Salihen Mastor yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Norita membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas Mohamad Halmi dan Affendy.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan dimana masing-masing perlu melapor diri di Balai Polis Kempas, Johor Bahru dan Balai Polis Subang Jaya, Selangor setiap bulan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semua kes ditetapkan pada 8 Disember ini.

Pada 12 Julai lalu, Mohamad Halmi turut didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mempamer bahan mengandungi darjah kebesaran Perak di kenderaan tanpa kebenaran.

Dia yang juga sukarelawan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menetap di Johor Bahru itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. – UTUSAN

Tiada ulasan: