Selasa, 19 Oktober 2021

Bersama berganding bahu sebagai Keluarga Malaysia pulihkan negara – PM

 Muhammad Azizul Osman

245970998_433536091454386_7958548005572313338_n-e1634615711688

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh rakyat berganding bahu bagi memulihkan negara selepas pandemik Covid-19.

Sebagai satu Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, langkah itu perlu bagi memastikan negara dan rakyat  dapat menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Apa jua perbezaan, kita jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan manakala sebarang persamaan, kita jadikan sebagai sumber kekuatan. Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

“Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 2021 bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti secara maya hari ini.

Ismail Sabri berharap prinsip ukhuwah insaniah akan dapat dijadikan pemangkin kepada pembangunan konsep Keluarga Malaysia yang diterapkan beliau.

Jelasnya lagi, tema yang digarap sempena sambutan Maulidur Rasul 2021 kali ini akan membawa negara kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, dan insani.

“Kesemua nilai ini, selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

“Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul,” jelas Perdana Menteri lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara terletak kepada kesatuan dan kesepaduan.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW sendiri telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

“Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: