Ahad, 3 Oktober 2021

Berapa jumlah bantuan kepada sekolah tahfiz pula, soal Pemuda PAS


Susulan kontroversi isu peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina, Pemuda PAS mendesak kerajaan mendedahkan peruntukan yang diberikan kepada sekolah-sekolah tahfiz semasa krisis kesihatan Covid-19.

Timbalan Ketua pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendesak penjelasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu peruntukan kepada sekolah Cina tersebut dan perlu diberikan penjelasan dari Menteri yang berwajib.

“Isu peruntukan RM15 juta kepada sekolah-sekolah persendirian Cina, KPM didesak nyatakan penjelasan. Berapa pulakah yang disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz swasta pada saat yang gawat ini?

“Saya telah menghantar soalan untuk Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan setiap Selasa dan Khamis sepanjang sidang Parlimen. Jika soalan naik, kita nantikan jawapan Menteri Pendidikan. Walau apapun, ia merupakan isu yang wajib memerlukan penjelasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dilaporkan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.

Pemberian bantuan itu disahkan juga Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mah Hang Soon.

Sebelum ini, Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratusmaahad tahfiz di Malaysia perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Presiden Permata Al- Quran, Manolito Mohd Dahlan, dilaporkan berkata ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap sebanyak 512 maahad tahfiz di negara ini.

Selain itu jelasnya, kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

Katanya lagi, sebanyak 38.1 peratus tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala sebanyak 85.4 peratus maahad menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan.

Tiada ulasan: