Khamis, 7 Oktober 2021

Bayi lelaki ditemui dalam tong sampah

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemui masih bernyawa di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, bayi cukup sifat yang dipercayai baru dilahirkan dan dibuang di situ, ditemui seorang lelaki berusia 30-an yang kebetulan melintasi kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati, seorang lelaki enggan dikenali mendakwa terdengar bunyi rengekan yang pada mulanya disangka kucing.

Bagaimanapun, katanya, ketika lelaki terbabit semakin menghampiri kawasan pembuangan sampah itu, bunyi semakin kuat menyebabkannya terus mencari sumber bunyi berkenaan.

"Lelaki terbabit terkejut dengan penemuan bayi itu dan terus menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

"Polis yang tiba di lokasi kejadian menjalankan siasatan dan bayi itu diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada BH, hari ini.

George berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil memberi maklumat.

"Mereka yang mempunyai maklumat terhadap kes disiasat itu boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Ab Zumin di talian 0145521425," katanya

Tiada ulasan: