Jumaat, 22 Oktober 2021

760 daripada 2,753 guru enggan divaksin alami masalah kesihatan

DR RADZI JIDIN

SERAMAI 2,753 orang guru di negara ini masih enggan mendapatkan vaksin Covid-19 setakat semalam dengan sebahagian besar memberi alasan termasuk tidak percaya pelalian itu, isu  agama, tidak dibenarkan pasangan serta masih belum bersedia.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, daripada jumlah itu, 760 orang guru tidak mahu divaksin kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik, alahan, mengandung atau menyusukan anak, merancang kehamilan dan bekas pesakit Covid-19.

Menurutnya, bagi meningkatkan kadar vaksinasi guru yang enggan divaksin selain masalah kesihatan, pihaknya melalui pentadbir sekolah secara berterusan mengadakan konsultasi untuk memastikan mereka mengambil vaksin.

“Guru yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang sudah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya hari ini.

Beliau demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, setakat semalam, seramai 399,972 orang atau 96.83 peratus guru di negara ini sudah lengkap divaksin.

Beliau berkata, mengikut garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah 3.0 yang dikeluarkan kementerian, guru yang lengkap divaksin sahaja dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

“Bagi guru yang belum lengkap atau tidak divaksin, mereka dikehendaki melaksanakan PdPR dan tugasan lain yang diarahkan oleh pihak sekolah. Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka semasa berada di kawasan sekolah,” katanya.

Tiada ulasan: