Khamis, 21 Oktober 2021

590 rakyat Melaka terjejas banjir

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
PENDUDUK beralih di kawasan selamat ketika kawasan perumahan mereka ditenggelami air selepas hujan lebat di Solok Benteng, Kampung Sungai Putat, Melaka. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD

MELAKA: Seramai 590 penduduk Melaka di pindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir yang melanda negeri ini, sejak petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa daripada 155 buah keluarga itu dipindahkan ke sembilan PPS yang dibuka sejak pukul 5.30 petang semalam.

Jelasnya, setakat pukul 8 pagi tadi sebanyak 41 kawasan terjejas dalam bencana berkenaan.

“Mengikut pecahan, di Melaka Tengah seramai 119 penduduk dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir (103) dan SK Batu Berendam (35). 

“Di Jasin pula adalah di SK Tehel (94), SMK Seri Bemban (80) dan SMK Dang Anum (lapan), manakala di daerah Alor Gajah, SK Durian Tunggal (76), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah (68) dan Balai Raya Kampung Gadek (tujuh),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Online melaporkan, sebanyak 36 kawasan di ketiga-tiga daerah di negeri ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih empat jam sejak pukul 2 petang. 

Bencana tersebut turut meragut nyawa seorang anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Diya Che Jusoh, 46, yang meninggal dunia di Hospital Melaka akibat insiden lemas di Kampung Sungai Putat. UTUSAN

Tiada ulasan: