Saturday, December 7, 2019

Syed Saddiq contoh orang muda tidak bersedia jadi pemimpin, kata mahasiswa Umno

Perwakilan Kelab Mahasiswa Umno Muhammad Mirza Adnan 
ketika membahaskan ucapan presiden pada Perhimpunan Agung 
Umno 2019 di Dewan Merdeka, PWTC hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Perwakilan Kelab Mahasiswa Umno berkata, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah contoh terbaik orang muda yang gagal bersedia untuk menjadi pemimpin.

Muhammad Mirza Adnan berkata, keadaan ini jelas kelihatan apabila menteri itu akhirnya dijadikan bahan jenaka oleh pengundi.

“Lebih buruk, dia menjadi defisit kepercayaan anak muda untuk menjadi pemimpin hari ini,” kata penuntut jurusan undang-undang di Universiti Malaya (UM) itu ketika perbahasan ucapan presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2019 (PAU2019) hari ini.

Atas sebab itu kata Mirza, orang muda dalam Umno tidak perlu melobi tentang kuota menteri dalam kerajaan.
Sebaliknya mereka perlu mempersiapkan diri untuk menjadi calon pemimpin terbaik sehingga mendapat perhatian daripada pimpinan atasan parti.

“Siapkan diri kita sebagai pemimpin, biar parti tahu kita yang selayaknya untuk rakyat,” katanya diiringi tepukan gemuruh hadirin di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Tambahnya, pada saat Umno menjadi pembangkang, maka tidak ada mana-mana pihak yang akan tampil membantu parti itu kecuali golongan muda yang bakal mencorakkan masa depannya.

Mirza juga meluahkan kebimbangannya berkaitan amalan “undang-undang rimba” yang menurutnya sedang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, negara semakin kehilangan amalan prinsip Rukun Negara, iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Negara seolah-olah ditadbir secara ‘rule of the jungle’. Kes banglo mewah dilepas begitu sahaja.
Kes rogol di Perak, ICERD, pengganas LTTE dan terkini pengiktirafan komunis,” katanya merujuk kepada kontroversi melibatkan beberapa orang pimpinan DAP sebelum ini.

No comments: