HARAKAHDAILY
KAJANG: NGO Islam tampil membantah satu lagi
persidangan membantah Jawi iaitu Kongres Jawi Kebangsaan anjuran
Gabungan Seni Khat Action Team (SEKAT) yang dijadualkan pada esok di
Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya.
Timbalan Pengerusi Gerakan
Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menasihatkan penganjur kongres
tersebut supaya menghentikan persidangan itu demi memastikan keharmonian
negara.
Katanya, semua pihak khususnya Dong Zong wajar akur
kepada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November lalu yang
memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu dan
juga Bahasa Kebangsaan.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya
Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh terhadap permohonan
parti GERAKAN yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diteruskan di
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/T).
Malah mahkamah
memutuskan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan
pembelajaran tulisan Jawi adalah tidak bertentangan dengan semangat Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita
nasihatkan sekali lagi kepada penganjur Kongres esok supaya dia
hentikan persidangan itu supaya ini akan dapat memberikan satu
keharmonian kepada negara kita.
“Saya nak nyatakan juga bahawa
MPM (Majlis Perundingan Melayu) dan juga NGO di bawah UMMAH akan terus
memastikan bahawa Jawi dan Bahasa Melayu terus dimartabatkan di negara
kita,” kata Mohd Zai.
Beliau bersama beberapa wakil NGO hari ini
menyuarakan bantahan itu dalam satu sidang media yang diadakan
berhampiran Kolej New Era.
Menurutnya, jika Dong Zong masih
berdegil meneruskan bantahan tulisan Jawi, UMMAH dan ratusan NGO yang
terdiri daripada NGO Bahasa, Pendidikan akan menggerakkan satu lagi
himpunan raksasa yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur.
Berkata
pada sidang media sama, Pengerusi Semangat Gelombang Rakyat, Ellie
Suriati berkata mereka menyambut baik keputusan Dong Zong yang akur
dengan keputusan mahkamah supaya membatalkan perhimpunannya pada hari
ini.
Namun katanya, Dong Zong tidak membuat maklum balas
mengatakan bahawa mereka akan tidak meneruskan langkah untuk menolak
tulisan Jawi secara formal.
Hari ini sepatutnya berlangsung
Kongres Bantah Tulisan Jawi di Kolej New Era di sini, walau bagaimanapun
Dong Zong selaku penganjur persidangan tersebut akur dengan perintah
mahkamah yang melarang meneruskan persidangan tersebut.
Arahan
itu dikeluarkan sejurus mahkamah meluluskan permohonan polis untuk
mengeluarkan perintah larangan kepada Dong Zong supaya tidak meneruskan
persidangan tersebut.
Dalam pada itu juga, sebagai tindak balas
kongres anjuran Dong Zong itu, satu lagi Himpunan Julang Perlembagaan
‘Rempuh 2812’ yang sepatutnya berlangsung pada hari ini turut
dibatalkan.
Sementara itu di Kolej New Era, beberapa wakil media
berkumpul di luar perkarangan kolej tersebut yang sedang dikawal polis
sejak dari awal pagi tadi dan masih membuat sekatan jalan hingga kini. –
HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment