Saturday, December 7, 2019

Perwakilan Amanah cadang batal pertubuhan guna nama Islam

Perwakilan Amanah Pulau Pinang Mohd Saifullah Abd Nasir 
berkata, Umno dan PAS memainkan isu perkauman ke tahap 
yang menggugat kestabilan negara.
 
SHAH ALAM: Perwakilan Amanah dari Pulau Pinang hari ini mendakwa PAS dan Umno memainkan isu perkauman ke tahap yang kritikal dan dilihat menggugat kestabilan negara.

Sehubungan itu, Mohd Saifullah Abd Nasir mencadangkan supaya semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam dinilai semula atau dibatalkan pendaftarannya kerana memberikan imej tidak baik kepada agama.

“Kita tahu PAS dan Umno semakin galak memainkan isu perkauman yang pada saya sangat kritikal. Kami Pulau Pinang merasakan isu ini sangat mencabar kestabikan negara.

“Jadi tidak berlebihan untuk saya mencadangkan semua pertubuhan yang menggunakan nama Islam harus disemak atau batalkan pendaftaranya kerana ia memberi imej tidak baik kepada Islam yang suci dan mulia,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden pada Konvensyen Nasional parti itu di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mencadangkan tindakan dikenakan terhadap kakitangan awam yang tidak bersedia untuk taat kepada kerajaan ketika ini.

“Sebagai penjawat awam, mereka seharusnya patuh dengan perintah am, namun ada sekumpulan yang ingin mencabar kerajaan.

“Tindakan ini tidak seharusnya dibiarkan. Kita harus bijak menangani mereka dan jika ada keperluan tukarkan mereka yang tidak mahu taat kepada kerajaan,” katanya

Saifullah turut mempersoalkan sikap media arus perdana yang pro kerajaan tetapi gagal memihak kepada pemerintah, termasuk tidak membuat siaran langsung konvensyen parti itu.

“Sekarang ini ruang terbuka kepada parti pembangkang. Hari ini Pakatan Harapan (PH) memerintah, tetapi siaran langsung persidangan agung Umno ditayangkan di TV3, ditayang di media-media berita utama. Di mana siaran langsung konvensyen kita hari ini?

“Saya fikir sebagai kerajaan kita harus bertindak sebagai kerajaan. Kita harus menggunakan kuasa yang ada, bukanlah menyalahguna tetapi menggunakan kuasa yang ada pada kita,” katanya.

No comments: