Seorang ulama kanan PAS menyarankan agar neurologis (saraf) pakar "membantu" Hanipa Maidin ekoran pandangan yang diberikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berhubung pendirian Dong Zong.
Membuat hantaran ringkas di media sosial, Mokhtar Senik memberitahu pandangan diberikan Hanipa adalah kesan daripada kemalangan yang menimpa ahli parlimen Sepang berkenaan.
"Kesan dari jatuh dan terhempas satu ketika dahulu. Pakar neuro patut bantu..." tulisnya kelmarin.
Walaupun tidak menyatakan secara jelas, Mokhtar yang juga bekas ketua Dewan Ulama PAS Pahang diyakini merujuk kepada dua kemalangan menimpa Hanipa sebelum ini.
Pada 9 Julai tahun lalu ahli parlimen mewakili Amanah itu terjatuh dari pentas apabila pengsan semasa menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berada di pentas sama kemudian memberikan pertolongan cemas kepada Hanipa.
Beliau kemudian sedar dan dibawa untuk mendapatkan rawatan di hospital.
Adab kena jaga
Sementara itu Hanipa mempunyai cara tersendiri melayan hantaran Mokhtar.
Turut membuat kenyataan ringkas, Hanipa sebaliknya mendoakan Mokhtar agar ulama PAS itu kekal sihat sentiasa.
"No worries. Be happy, have fun.... (Jangan bimbang. Bersenang-senanglah, bergembira) moga anda sehat selalu ya," katanya hari ini sambil melampirkan tangkap layar hantaran Mokhtar.
Untuk rekod kenyataan Mokhtar itu bukanlah yang pertama dibuat ke atas Hanipa.
Hantaran terbaru Mokhtar itu kemudian disambut beberapa pembaca, dengan ada pengguna Facebook dipercayai penyokong pembangkang mendoakan agar timbalan menteri itu agar pendek umur.
Sebelum ini juga pernah ada penyokong pembangkang mendoakan agar ada pilihan raya kecil parlimen di Pahang, sekali gus secara tidak langsung berharap berlaku kematian ke atas seorang timbalan menteri yang mengalami masalah kesihatan.
No comments:
Post a Comment