Yakin isu bendera 5 bintang, abu mayat Chin Peng dirancang
BANGI
– Kerajaan Pusat digesa bertindak tegas berhubung perjumpaan bekas
anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang,
baru-baru ini.
Ketua Perhubungan Negeri gerakan Islam
utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini
Mohd Naim berkata, polis juga perlu membuat siasatan sewajarnya mengikut
peruntukan undang-undang yang ada demi kedamaian dan keamanan yang
selama ini dikecapi.
Sebelum ini, kira-kira 300 orang telah
menghadiri perjumpaan dan perhimpunan memperingati ulang tahun ke-30
Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan
PKM pada 2 Disember 1989.
Salah seorang bekas anggota PKM, Tan Yi
Yu mengakui perjumpaan itu bukan sahaja untuk mengingati sejarah mereka
tetapi juga untuk membetulkan salah faham terhadap perjuangan mereka.
Menyifatkan kenyataan itu dangkal, Ustaz
Khoushaini berkata, orang Melayu tidak pernah lupa fakta sejarah yang
mana komunis Cina menentang Jepun kerana dendam, bukan kerana mahu
memerdekakan negara ini.
“Selepas Jepun menyerah kalah dalam
Perang Dunia Kedua, komunis bertindak ganas keluar daripada hutan untuk
menakluki Tanah Melayu.
“British masuk semula selepas 14 hari Jepun keluar, jika tidak Tanah Melayu sudah tentu menjadi milik komunis,” kata beliau.
Bahkan beliau menegaskan bahawa komunis
serta pemikiran kumpulan pengganas itu tidak seharusnya dibiarkan
merebak dalam negara ini.
“Adakah laungan pendidikan UEC, komik
propaganda, bendera lima bintang, membawa masuk abu mayat Chin Peng
semuanya hanya satu kebetulan? Saya percaya ini adalah satu pergerakan
terancang.
“Perbuatan mereka ini bukan sahaja tidak
menghormati Perlembagaan Persekutuan bahkan telah mencetuskan kemarahan
dan menggugat keharmonian masyarakat.
“Pihak kami bimbang jika tiada sebarang
tindakan diambil maka ketegangan dalam negara boleh terjadi. Siasat
lagi, siapa di belakang mereka? Apa sebenarnya hala tuju mereka?,”
katanya.
Pada masa sama, Ustaz Khoushaini
memaklumkan bahawa Isma Melaka membuat laporan polis berhubung
perhimpunan dihadiri bekas anggota PKM di Kolej Universiti New Era di
Kajang, Ahad lalu.
Katanya, turut hadir membuat laporan
polis berkenaan isu itu termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Melaka,
parti politik daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa),
UMNO serta PAS.
No comments:
Post a Comment