Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Mesti rehatkan pemimpin terbabit rasuah, skandal seks, ideologi sesat
BANGI
– Meskipun sukar untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh belum genap
sepenggal, namun kerajaan Pakatan Harapan masih mempunyai cara lain
untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Naib Presiden gerakan Islam utama, Ikatan
Muslimin Malaysia (Isma), Prof Zainur Rashid Zainuddin berkata, pilihan
lain untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat majoriti adalah dengan
mengeluarkan parti tamak haloba dan proksinya daripada kerajaan,
seterusnya membina koalisi baharu.
“Selain itu, mereka yang terbabit dengan
apa jua skandal seperti rasuah, skandal seks songsang, ideologi sesat
seperti Syiah dan kumpulan pengganas mesti direhatkan sebelum kembali ke
pangkal jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Prof Zainur Rashid berkata, walaupun langkah berkenaan kelihatan sukar dilaksanakan, tetapi ia tidak mustahil bagi kerajaan.
“Saya yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia ternanti-nantikan perubahan besar yang lebih baik daripada kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau akan berhati-hati dalam
melakukan rombakan Kabinet kerana tidak lagi mahu membuat kesilapan.
Ia berikutan katanya, pilihan yang dibuat
suatu ketika dulu adalah salah kerana individu berkenaan gagal
menjalankan tanggungjawab.
“Saya sudah (pernah) lakukan rombakan
Kabinet. Tukar menteri tak semestinya akan jadi lebih baik. Ia mungkin
jadi lebih buruk. Jadi saya perlu berhati-hati dalam rombakan Kabinet.
“Saya pilih orang selalunya gagal. Orang
buat tak kena. Jadi sebab itu saya berhati-hati untuk rombak Kabinet.
Kita boleh buang semua tapi ada jaminankah semua akan bekerja dengan
baik? Semua orang baru,” katanya.
Difahamkan, Dr Mahathir menimbang desakan
agar rombakan Kabinet dibuat selepas kekalahan besar Pakatan Harapan
(PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November lalu.
No comments:
Post a Comment